Dr Mahathir Mohamad

Picture
 Adik-adik, pada 20 Disember 1925 lahirlah  negarawan dari Kedah, iaitu di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar. Mahathir namanya. Bapanya bernama Mohammad dan ibunya Wan Tempawan.

      Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Laki-laki Seberang Perak, Kedah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, iaitu Sekolah Inggeris Alor Setar. Semasa Perang Dunia Kedua, Mahathir berkecimpung dalam perniagaan di Pekan Rabu, Alor Setar. Setelah perang tamat, beliau menyambung semula pengajiannya pada tahun 1945 sehingga Senior Cambridge. Pada tahun 1947, beliau melanjutkan ke Universiti Malaya di Singapura dalam bidang kedoktoran.

      Pada tahun 1946, beliau menjadi ahli Umno Kedah. Semasa zaman muda, beliau banyak menulis. Che Det nama penanya. Tulisan tersebut dihantar ke akhbar 'Strait Times' dan 'Sunday Times'.

      Tahun 1952, Mahathir lulus dengan ijazah perubatan MBBS. Tahun 1953, beliau menerima ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan. Beliau berkhidmat di Hospital Alor Setar dan di Pulau Langkawi. Pada tahun 1957, beliau membuka klinik swasta bernama MAHA.

      Pada 5 Ogos 1956, beliau dijodohkan dengan Dr. Asmah Mohd. Ali. Mereka dikurniai tujuh orang cahaya mata, iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhazani, Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.

      Pada tahun 1964, beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Star. Pada tahun 1969, beliau dipecat daripada ahli UMNO oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj kerana mengkritik pucuk pimpinan dalam peristiwa tragedi 13 Mei 1969 dan menulis buku 'The Malay Dilema'. Mahathir menyertai semula dalam UMNO setelah Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri yang kedua. Pada tahun 1972, beliau memenangi kerusi Majlis Tertinggi UMNO. Pada tahun 1973, beliau dilantik menjadi Senator.

      Dalam Pilihan Raya 1974, beliau menang tanpa bertanding. Pada 6 Oktober 1974, beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Pada Jun 1975, beliau menjadi Naib Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

      Mahathir menjadi Perdana Menteri yang keempat pada 18 Julai 1981. Pada tahun itu juga beliau menang tanpa bertanding sebagai Presiden UMNO.

      Mahathir banyak memperkenalkan dasar baru seperti Sistem Punch Card, Dasar Pandang Ke Timur, Program Pengswastaan, Dasar Pengsyarikatan Malaysia, Dasar Perindustrian Negara, dan lain-lain. Hasil daripada ini lahirlah kereta nasional pertama, iaitu 'Proton Saga'.

      Tahun 1993 melibatkan pula pengeluaran pesawat terbang ringan. Malah, Malaysia mempunyai satelit tersendiri. Pada tahun 1995 pelancaran MEASAT 1 dan pada tahun 1996 pula pelancaran MEASAT 2.

      Seterusnya, projek lebuh raya menghubungkan utara-selatan, timur-barat. Mahathir turut memperkenalkan Transit Aliran Ringan (LRT). Pada 1996 pula ialah pembinaan Pusat pentadbiran persekutuan 'Putrajaya'.

      Selain itu, projek lain lagi ialah pembinaan menara konkrit yang tingginya 451.9 meter, pembinaan bangunan 88 tingkat Menara Berkembar Petronas, Empangan Bakun sebuah empangan terbesar di Asia, dan sebuah lapangan terbang yang tercanggih di rantau ini, iaitu Lapangan Terbang Antara Bangsa Kuala Lumpur (KLIA).

      Pada tahun 1997, beliau memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan sebuah bandar ultra-tekno 'Cyberjaya' dibina. Sekolah Bestari (smart school) pula beroperasi penuh pada tahun 2000.

      Di peringkat antarabangsa, Mahathir suaranya lantang membela negara-negara miskin yang tertindas oleh kuasa besar. Malaysia membantu negara-negara yang ketandusan kepakaran dengan menghulurkan bantuan teknikal. Malaysia juga membuat pelaburan terbesar di negara Kemboja, Myanmar, Afrika Selatan, Zimbabwe, dan Maldives.

      Malah, Mahathir juga meninggalkan 'Wawasan 2020' berkonsep rakyat berdaya saing maju, dan moden.

      Pada 22 Jun 2002, Tun Dr. Mahathir mengumumkan pesaraannya sebagai presiden UMNO. Pada Oktober 2003, mengumumkan persaraan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.