PROGRAM Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) sesuai untuk program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang begitu dititikberatkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Program ADaP yang menitikberatkan penggunaan maksimum maklumat dalam akhbar memerlukan murid untuk mengenal pasti bahan yang sesuai, membaca, melakukan aktiviti dan berkongsi bahan bacaan dengan rakan sekumpulan.

Kata guru Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi di Selangor, Zainun Ismail, ADaP mempunyai format yang serasi dengan elemen Nilam, termasuk konsep fail tegak.

``Sebab itulah kita memanggil pihak Unit Pendidikan Utusan Malaysia untuk menjalankan aktiviti ADaP di sekolah ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selepas program berkenaan, murid diminta mengisi borang pelaksanaan Nilam, sementara peserta yang berjaya menyelesaikan tugasan ADaP dengan tepat dan kemas, dan membentangkan hasil kerja mereka, dicatat sebagai Rakan Pembaca dan mendapat markah bonus di bawah catatan program Nilam.

Program di sekolah itu merupakan kali yang kedua. Kali pertama diadakan pada 2006.

Pada tahun ini, ADaP bertandang ke situ untuk mengisi slot Bulan Membaca 2007.

Menurut Zainun, Pusat Sumber di sekolah itu mengadakan pertandingan membuat fail tegak paling kreatif untuk murid tahun enam pada waktu senggang selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Tentang pertalian antara ADaP dan Nilam, katanya, terdapat persamaan yang nyata, seperti semasa aktiviti pembacaan, murid digalakkan mencatatkan bahan bacaan sebagai bahan dokumentasi rujukan.

``Saya lihat aktiviti `dua dalam satu' ini terdapat dalam ADaP dan Nilam,'' katanya.

Dalam konsep Rakan Pembaca pula, seorang murid akan membaca, atau mengulas, atau menceritakan hasil pembacaannya di depan khalayak dan ini membolehkan pelaksanaan satu konsep Rakan Pembaca.

Dalam kumpulan maksimum enam orang, seorang akan menjadi rakan pembaca dan lima lagi merupakan peserta individu atau Jauhari.

Beliau menambah, dalam ADaP, peserta berkumpulan juga perlu melantik seorang Rakan Pembaca dalam kumpulan dan membentangkan hasil kerja berkumpulan masing-asing.


SEBAHAGIAN daripada 300 murid tahun empat dan lima SK Bandar Baru Bangi Jalan 2/1 di Selangor meneliti kandungan Utusan Malaysia sebelum menyelesaikan tugasan secara berkumpulan, baru-baru ini. Hasil kerja berkumpulan dalam program ADaP meliputi pemerihalan sekeping gambar, analisis Rencana Pengarang secara pengurusan grafik, menganalisis bahan grafik seperti laporan saham harian, dan memproses bahan dalam bahan pengajaran dan pembelajaran.

Kata Zainun, bahan yang telah diproses menjadi fail tegak akan dijilid, disimpan dan akan digunakan pada tahun berikutnya.

Program Nilam adalah satu program yang menggabungkan atau mengadun kesemua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai.

Matlamat Program Nilam adalah untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid, menggalakkan murid menjadikan buku sebagai sahabat dan menggalakkan pihak sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca.

Ringkasan kepada aktiviti program Nilam adalah seperti berikut:

- Rekod bacaan

- Pertandingan banyak membaca

- Pertandingan menulis

- Sinopsis buku

- Buku skrap

- Kuiz

ROHANA HUSSIN
Sementara itu, Guru Besar SK Bandar Baru Bangi, Rohana Hussin berkata, beliau memang menggalakkan setiap guru kelas menggunakan akhbar sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran sejak dari dahulu lagi.

Sebagai sekolah yang pernah menerima Anugerah Sekolah Harapan Negara, beliau sentiasa mencari jalan untuk mengekalkan prestasi dan nama baik sekolah.

Menurut beliau, pembelian akhbar dilakukan dengan kerelaan murid sendiri setelah mereka didedahkan dengan kepentingan akhbar dalam pengajaran dan pembelajaran.

``Sekolah juga melanggan akhbar melalui bajet Pusat Sumber,'' ujarnya.

``Saya sendiri menggalakkan murid dan guru sekolah ini melanggan akhbar,'' katanya.

Tentang sekolah itu, Rohana memberitahu dia telah memohon supaya sekolah itu diiktiraf dalam kelompok kluster sekolah rendah kebangsaan.

``Kekuatan sekolah ini terletak kepada permuafakatan erat dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),'' ujar beliau.

Tentang perancangan akademiknya, Rohana berkata cabaran besar bermula tahun hadapan apabila kertas Sains dan Matematik UPSR sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

``warga sekolah ini secara keseluruhannya perlu lebih inovatif mencari kaedah pengajaran bagi kedua-dua subjek berkenaan, khususnya Matematik,'' ujar beliau.

Beliau mengakui berlaku kemerosotan peratus kelulusan bagi mata pelajaran itu bagi tahap yang sedang mengikutinya dalam bahasa Inggeris.

Katanya masalah untuk memahami kedua-dua mata pelajaran itu menjadi lebih besar kalau guru bertutur sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.