Tunku Abd Rahman

Picture
Adik-adik, Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Selain itu, Allahyarham juga turut dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu (31 Ogos 1957) dan Bapa Kemerdekaan Malaysia (16 September 1963).

      Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj diputerakan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah. Ayahanda Allahyarham ialah Almarhum Sultan Abdul Halim Syah. Bondanya pula bernama Cik Manjalara.

      Sebelum kemerdekaan tanah air, Allahyarham dengan dibantu oleh beberapa orang rakannya dalam UMNO seperti Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail telah memperjuangkan tuntutan kemerdekaan tanah air. Usaha ini turut dibantu oleh kaum-kaum lain di tanah air ini.

      Akhirnya, perjanjian ditandatangani pada 8 Februari 1956 oleh semua pihak yang terlibat untuk merangka Perlembagaan Malaya. Seterusnya, membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

      Kepulangan 'Rombongan Merdeka' yang diketuai oleh Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman disambut dengan penuh meriah dan gemilang dalam suatu peristiwa bersejarah di Bandar Hilir Melaka.

      Allahyarham YTM Tunku Abdul Rahman menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama pada tahun 1957 hingga 1970. Allahyarham meninggal dunia pada 6 Disember 1990.