Sepak Raga

Picture
 Sepak raga boleh dianggap sebagai salah sejenis permainan tradisional yang asli milik bangsa Melayu. Hal ini demikian kerana bola yang digunakan dalam permainan ini diperbuat daripada rotan. Rotan merupakan sejenis tumbuhan yang hanya terdapat di Asia Tenggara.

      Permainan ini dimainkan oleh golongan lelaki secara kumpulan dalam bentuk bulatan. Mana-mana ahli dalam kumpulan itu akan menyepak bola tersebut secara melambung tinggi dan akan disepak kembali oleh ahli yang lain pula. Demikianlah dilakukan bergilir-gilir agar bola itu tidak terjatuh ke tanah.

      Permainan ini boleh juga dimainkan untuk perlawanan. Sesiapa yang gagal menyepak kembali bola yang dihantarkan kepadanya akan dikira tewas. Orang yang tewas harus keluar daripada kumpulan. Akhirnya akan tinggal dua orang pemain untuk ditentukan juaranya.

      Pemainan ini masih popular sehingga sekarang, terutama di kalangan masyarakat desa. Namun demikian, selain masih dimainkan dalam bentuk kumpulan bulatan, permainan ini pada masa kini telah turut berubah bentuk permainannya. Bentuk baru ini dikenali sebagai sepak takraw. Permainan sepak takraw ini sudah diterima menjadi salah satu acara popular dalam pertandingan sukan peringkat Asia Tenggara. Dalam permainan ini, setiap pasukan terdiri daripada tiga orang pemain. Dalam setiap perlawanan, dua pasukan akan berentap untuk memungut mata kemenangan. Masing-masing akan cuba menyepak atau menanduk bola raga supaya melepasi jaring di tengah-tengah gelanggang untuk menewaskan pasukan lawan.  

Galah Panjang

Picture
  Galah panjang merupakan sejenis permainan luar yang dimainkan secara berkumpulan antara empat hingga sepuluh orang dalam sesebuah pasukan.


      Lazimnya, permainan ini dimainkan di atas gelanggang badminton, terutamanya di sekolah. Selain itu, permainan ini juga dimainkan di tempat yang lapang seperti di atas pasir atau tanah. Garisan gelanggangnya akan dilukis sendiri dengan menggunakan kapur atau garisan di atas pasir.

      Cara permainannya akan dimulakan dengan kedua-kedua pasukan akan melakukan cabutan undi bagi menentukan pasukan manakah yang akan menyerang atau bertahan dahulu.

      Sebelum permainan dimulakan, para pemain pasukan penyerang akan berada di sebelah hadapan, iaitu di luar garisan I. Manakala pasukan yang bertahan pula akan mengambil kedudukan di garisan I, II, III, dan IV. Ketua pasukan yang bertahan akan mengambil kedudukan di garisan tengah, iaitu X-Y.

      Pemain dalam pasukan yang bertahan hanya boleh bergerak di sepanjang garisan yang mereka kawal. Manakala pemain daripada pasukan menyerang akan cuba mengacah dan memboloskan diri daripada kawalan pemain lawan tanpa dapat disentuh.

      Para pemain pasukan penyerang akan cuba melintasi garisan demi garisan sehingga melepasi garisan IV. Selepas itu akan cuba berpatah balik sehingga melepasi garisan I, tanpa dapat disentuh atau dipegang oleh pasukan yang bertahan.

      Jika salah seorang daripada pemain pasukan penyerang dapat berbuat demikian, maka mereka akan dikira sebagai pemenang dan mendapat markah. Seterusnya, permainan akan dimulakan semula dengan kedudukan pasukan yang sama seperti permainan sebelumnya.

      Jika ada pemain pasukan yang dapat disentuh oleh pasukan yang bertahan, maka permainan akan ditamatkan dan akan dimulakan semula dengan pasukan yang bertahan akan bertukar menjadi pasukan penyerang. Namun begitu, setiap pemain dalam pasukan penyerang juga tidak boleh keluar dari garisan gelanggang yang telah ditetapkan.

      Sekiranya terdapat pemain yang dikesan terkeluar dari garisan, maka permainan akan ditamatkan dan dimulakan semula.

Wayang Kulit

Picture
 Wayang kulit merupakan salah sejenis hiburan tradisional yang amat popular di Kelantan, selain daripada dikir barat dan makyong sedikit masa dulu.

      Wayang kulit mempunyai peminatnya sendiri dan tidak akan lenyap, jika seni budaya Melayu ini dipelihara.

      Seni pesaka turun-temurun ini mempunyai keunikan dari segi persembahan dan alunan muzik pengiringnya.

      Kumpulan wayang kulit memerlukan sekurang-kurangnya lapan orang anggota, iaitu dalang, dalang muda, pemain gedut anak, pemain gedut ibu, pemain gendang anak dan ibu, pemain gedombak (2 orang), pemain canang, pemain kisi, peniup serunai, dan pemain gong (ketawak).

      Biasanya, permainan ini dipersembahkan di sebuah bangsal khas yang dibina daripada batang pinang, buluh, dan atap pokok sagu. Sebidang kain layar dan lampu diperlukan untuk menayang patung-patung (watak) wayang kulit.

      Dalang adalah orang penting dalam kumpulan wayang kulit. Dialah ketua dan pengurus kumpulan.

      Dalang memerlukan kemahiran tinggi untuk menghidupkan watak wayang kulit.

      Dalang harus cekap mengatur jalan cerita dan menghidupkan setiap watak. Dalang juga harus menggunakan suara yang berlainan untuk setiap watak.

      Cerita dalam wayang kulit berkisar kepada watak Raja Seri Rama, Laksamana, Hanuman Kera Putih, dan segala puak-juak di negeri Derdap Muda. Raja Seri Rama merupakan watak utama dalam cerita wayang kulit.

      Cerita dalam wayang kulit diselitkan dengan lawak jenaka. Tidak lengkap persembahan wayang kulit, jika tidak ada watak jenaka.

      Pak Dogol, Wak Long, Samad, Diah, Said, Kadir, Eteng, dan lain-lain merupakan watak-watak jenaka wajib dalam persembahan wayang kulit. Persembahan wayang kulit tidak akan berseri dan meriah, jika watak-watak ini tidak diwujudkan.

      Permainan wayang kulit dikatakan bermula dari Sumatera. Namun, ada juga sejarah mencatatkan permainan wayang kulit dibawa ke Thailand dan mulai bertapak di negara itu. Kemudian berkembang ke negeri Kelantan.

      Pada masa kini, kumpulan wayang kulit sudah hampir pupus di Kelantan. Persembahannya juga jarang dianjurkan. Pihak penganjur tidak berminat lagi hendak mengadakan persembahan ini kerana banyak dihalangi masalah dan modal.
      
      Tidak ada penganjur yang mempunyai modal yang banyak untuk membayar permit, membayar cukai hiburan, dan membina panggung. Sedangkan, pulangan wang tidak memadai dan ada yang rugi.

      Oleh sebab itu banyak kumpulan wayang kulit tidak lagi aktif. Namun, wayang kulit tetap hidup di sanubari pencinta seni kerana keunikannya.

      Permainan wayang kulit harus dipelihara agar tidak pupus.

Mak Yong

Picture
Salah satu antara permainan tradisional Kelantan yang popular sedikit masa dahulu ialah Mak Yong. Permainan ini seiring dengan menora, persembahan hiburan yang dipopularkan oleh orang Siam, Selatan Thailand.

      Antara Mak Yong dengan menora banyak persamaaan sama  ada dari segi cerita, muzik, corak persembahan, pelakon dan peralatan muzik.

      Cuma watak utama Mak Yong dipegang oleh wanita. Manakala dalam menora pula, watak utamanya dipegang oleh lelaki.

      Menurut ahli-ahli kebudayaan, Mak Yong berasal dari Sumatera. Dibawa ke Malaysia oleh sekumpulan orang istana yang kalah perang. Mereka mendarat di pantai negeri Terengganu, lalu tinggal menetap di kawasan itu. Tempat itu akhirnya dikenali ramai sebagai Padang Raja.

      Dari Padang Raja inilah Mak Yong mulai berkembang ke Negeri Kelantan. Akhirnya, permainan Mak Yong berakar-umbi di Kelantan. Manakala di Terengganu, tidak ada kumpulan yang terus mempeloporinya.

      Mak Yong berasal dari perkataan "Mak Yong." Maksudnya, seorang ibu yang boleh dicontohi dan dihormati oleh masyarakat, selaras dengan permainan ini asalnya adalah dari istana.

      Persembahan Mak Yong memerlukan sekurang-kurangnya enam orang pelakon dan enam orang pemain muzik.

      Pelakon penting, seorang wanita yang menjadi Mak Yong atau raja, lima orang inang dan dayang, serta dua orang peran pelawak terdiri dari lelaki.
      Watak Mak Yong adalah sebagai tonggak persembahan. Ia bertukar watak sebagai raja, mengikut cerita yang dipersembahkan.

      Peran memainkan peranan penting dalam persembahn Mak Yong. Dua pelakon ini mesti mempunyai kebolehan menyanyi, berlakon, dan berjenaka. Peran amat penting di dalam persembahan Mak Yong untuk menghidupkan perjalan cerita.

      Dalam semua cerita Mak Yong, peran menjadi pengasuh dan orang harapan raja.

      Pelakon tambahan yang lain ialah inang dan dayang. Semua pelakon ini akan muncul pada permulaan persembahan sebagai penari dan penyanyi latar. Seorang atau dua daripada penari ini akan muncul apabila ada watak yang diperlukan sebagai tuan puteri atau raja muda.

      Mak Yong dipersembahkan secara leangsung di khalayak, tanpa skrip bertulis, latar, dan hiasan pentas.

      Semua pelakon berada di pentas terbuka dan akan "muncul" apabila wataknya diperlukan. Semua pelakon mesti memahami cerita dan mampu melahirkan dialog sendiri tanpa panduan skrip.

      Setiap babak cerita difahami oleh penonton melalui pengucapan dan dialog. Tempat dan suasana juga difahami oleh penonton melalui penceritaan.

      Tidak ada penukaran latar, penukaran pakaian, penggunaan peralatan atau pencahayaan digunakan. Semua persembahan berjalan di atas pentas yang sama dengan dikelilingi oleh pemain muzik dan penonton.

      Mak Yong memerlukan enam orang pemain muzik yang sememangnya pakar. Kumpulan muzik ini diketuai oleh penggesek rebab yang dianggap 'teras' kepada permainan Mak Yong.

      Keunikan dan kemerduan muzik Mak Yong dibantu oleh pukulan dua gendang, sepasang gong, kisi, dan sepasang canang.

      Kumpulan muzik ini boleh melahirkan bebagai-bagai lagu yang sudah pun ditetapkan di dalam persembahan Mak Yong. Ada sebanyak dua belas lagu yang sedia ada dan tercipta sejak Mak Yong wujud. Ada juga lagu-lagu tambahan yang diselitkan oleh pemain muzik Mak Yong.

       Persembahan Mak Yong hanya diadakan di majlis kenduri kahwin, pesta kebudayaan, hari ulang tahun keputeraan sultan atau diadakan untuk perniagaan. Namun, biasanya adalah untuk hiburan orang kampung apabila selesai musim menuiai padi.

      Bagimanapun permainan MakYong di kelantan kini menempuh zaman gelap.

Tidak ada lagi persembahan Mak Yong. Kumpulan Mak Yong juga hampir berkubur. Pemain-pemain Mak Yong juga sudah ramai yang meninggal dunia. Golongan muda tidak berminat mempelajari Mak Yong. Peminat Mak Yong terus merosot. Dengan keadaan ini, Mak Yong mungkin akan lenyap di dunia melayu

Ulik Mayang

Picture
Umbut mayang kuumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulik mayang kuulit,
Ulik dengan puterinya Satu.

Puteri Satu berbaju serong,
Puteri Satu bersanggul sendeng,
Puteri Satu bersubang gading,
Puteri Satu berselendang kuning.

      Petikan lirik di atas adalah sebahagian daripada lirik lagu Ulik Mayang yang merupakan salah satu tarian tradisional yang popular di negeri Terengganu.

      Sejarah tarian ini merupakan satu mitos rakyat atau masyarakat setempat, iaitu mengenai cerita seorang yang sakit teruk dapat disembuhkan oleh Puteri Mayang Pinang dengan menggunakan mayang pinang. Kononnya, terdapat satu mimpi yang meminta agar pesakit itu diletakkan di bawah pokok pinang. Pada malamnya, Tuan Puteri Mayang Pinang telah datang mengubat pesakit itu sehingga sembuh.

      Kaedah perubatan ini telah digunakan oleh bomoh atau pawang pada ketika itu untuk mengubat pesakit dengan menggunakan mayang pinang. Cara perubatan mengulit mayang pinang itu akhirnya bertukar menjadi satu bentuk tarian yang dinamakan Ulik Mayang. Tarian ulik mayang ini seterusnya telah diubah dan disesuaikan dengan keadaan semasa oleh beberapa orang tokoh budaya di Terengganu.

      Tarian ulik mayang biasanya dimulakan dengan gambaran beberapa orang pemuda yang baru pulang dari laut. Kemudiannya, mareka bermain sepak raga di tepi pantai. Sedang mereka bermain, tiba-tiba salah seorang daripada mereka rebah kerana terkena sampukan.

      Kemudian, salah seorang daripada mereka menjadi pawang. Dengan menggunakan mayang, dia mengulit tubuh rakannya itu sambil diiringi dengan lagu ulik mayang. Rakan-rakannya yang lain juga akan turut menari mengikut irama ulik mayang. Ketika itu jugalah, tujuh orang puteri akan datang secara bergilir-gilir menyembuhkan pesakit itu.

      Setiap Puteri akan menari berdekatan pesakit dengan mengikut rentak lagu, sambil pawang terus mengulit tubuh pesakit. Akhirnya, Puteri Tujuhlah yang dapat menyembuhkan pesakit tersebut. Setiap orang puteri ini biasanya akan berpakaian tradisi seperti kain songket atau batik bersama sehelai selendang yang digerak-gerakkan sewaktu menari.

      Pada hari, ini tarian ulik mayang menjadi satu tarian tradisional Melayu yang popular di negeri Terengganu. Namun begitu, sudah terdapat beberapa perubahan yang dibuat, terutamanya yang melibatkan beberapa upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Apa yang lebih ditonjolkan dalam tarian ulik mayang pada hari ini adalah seni tarian itu sendiri, iaitu sebagai tarian yang indah, bersama irama lagu ulik mayang yang mengasyikkan.

Kuda Kepang

Picture
Permainan kuda kepang merupakan salah satu permainan rakyat di negara ini. Jika di negeri Pantai Timur Semenanjung terkenal dengan permainan wau dan wayang kulit, kuda kepang pula mendapat tempat di hati rakyat Johor. Kehalusan seninya begitu terpelihara walaupun arus kemodenan begitu ketara dalam beberapa aspek kebudayaan.




Salah seorang pencinta permainan ini di Pt. Kemang Muar ialah En.Margono bin Hj. Anuar atau lebih mesra dipanggil "Wak Gono". Beliau sudah lama berkecimpung dalam permainan kuda kepang tetapi faktor usia menyebabkan beliau terpaksa melupakan permainan ini. Permainan kuda kepang disebarkan kepada rakan-rakan serta orang-orang kampung dan hingga kini di Kampung Parit Kemang sudah mempunyai sebuah persatuan "Persatuan Kuda Kepang Pt. Kemang Muar". Menceritakan sejarah awal, beliau yang kini berusia 80 tahun menyatakan kuda kepang berasal dari Tanah Jawa Indonesia dan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh rakyat Indonesia yang berhijrah ke negara ini. Pada mulanya ia hanya permainan biasa seperti "Sepak Raga". Namun sambutan dari penduduk tempatan menyebabkan ia berkembang dari sebuah kampung ke sebuah kampung.

Pada zaman sekarang, permainan kuda kepang dimainkan di majlis perkahwinan atau sesuatu majlis keramaian. Pemain kuda kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang dimana 9 orang menari, 5 orang pemain muzik, 15 orang penjaga kawasan dan dua orang bertindak sebagai "Bomoh Pemulih". Bagaimanapun dalam sesuatu persatuan jumlah ahlinya adalah seramai 40 orang. Seorang daripada penari-penari itu bertindak sebagai pemimpin yang dipanggil "Danyang". Pakaian permainan pula biasanya seragam.